Friday 13 July 2012

Perasaan atau Emosi? (Refleksi ke 4)


Salam pertemuan..
Bagaimana emosi anda pada hari ini?harap-harap semuanya berjalan dengan lancar..amin :)

Sebenarnya ada sesuatu yang ingin saya kongsikan pada post kali ini. Pada suatu petang yang indah, saya ada terbaca suatu petikan, "Perasaan atau Emosi?". Petikan tersebut berbunyi begini..

Pada amnya, emosi diihat sebagai respon asas manusia. Emosi asas seperti kemarahan, kesedihan, keseronokan, kasih sayang, terperanjat, kejijikan dan rasa malu adalah dibina dalam DNA kita sebagai bentuk respon-respon neurobiologikal kimia.
Perasaan sebaliknya merupakan bahan terhasil daripada tindak balas emosi kita. Ia lebih berkaitan rapat dengan refleksi daripada emosi. Terdapat beratus-ratus perasaan yang berlainan. Justeru kita memberi respon kepada emosi yang berbeza di bawah situasi yang berlainan. Maka, perasaan merupakan respon terlazim di bawah masyarakat budaya kita. Ringkasnya, emosi memainkan peranan sebagai pengarah di bawah kesedaran 
(subconscious) kepada perhatian kita yang wujud sebelum perasaan kita ditunjukkan.


 Emosi merupakan tindakan balas reflektif secara semula jadi yang telah dikaitkan dalam sistem saraf dalam otak manusia sebagai mekanisme untuk komunikasi perasaan individu. Menurut Daniel Goleman (1997), emosi asas (primary emotion) manusia merangkumi rasa marah, sedih, takut, seronok, kasih sayang, terperanjat, jijik dan malu. Setiap emosi asas ini mempunyai berbilang-bilang ahli emosi yang berkaitan. Misalnya ahli-ahli emosi marah ialah radang, berang, murka, sengit, hangat dan sebagainya.


**Petikan ini menarik perhatian saya kerana setelah membaca petikan ini, ada persoalan yang muncul di benak saya, 'Apa perbezaan antara perasaan dan emosi?'. Kini, baru saya nampak, ada sedikit perbezaan antara dua perkara itu. Emosi ini akan muncul setelah kita melakukan sesuatu tindakan dan ianya hanya akan muncul untuk buat seketika atau paling kurang hanya untuk beberapa saat. Namun, perasaan akan timbul selepas daripada emosi. Kebiasaannya, perasaan itu akan kekal buat jangka masa yang lebih panjang. Seperti di dalam petikan tersebut, perasaan sebenarnya lebih berkaitan rapat dengan refleksi daripada emosi.
Akhir kalam (buat kali ini), kepada para pembaca jika ada sesuatu yang saya salah tafsir, harap dapat menegur dan jika anda ingin tambah, seluas lautan saya amat alu-alukan.

Thursday 12 July 2012

Refleksi Ke 3 (Kepentingan Kecerdasan Emosi)

Salam pertemuan..
Merujuk tajuk di atas, insya-Allah kali ini saya ingin mengupas sedikit mengenai kepentingan kecerdasan emosi dan kepentingannya boleh dibahagikan kepada aspek : 
1. sosial
2. pendidikan
3. kepimpinan


Goleman ( 1995, 1998 ) mengatakan bahawa kecerdasan emosi mampu membawa kepada kejayaan sama ada di rumah, sekolah atau pun tempat kerja.Dari aspek sosial, kecerdasan emosi penting bagi membolehkan hubungan sosial di antara seseorang individu dengan individu yang lain boleh berlaku dengan baik. Cuba bayangkan sekiranya seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang lemah, pasti emosinya sering tidak stabil dan secara tidak langsung kebanyakan yang berada di sekelilingnya juga akan cuba menghindarinya. Namun, jika hal ini berlarutan, bagaimana konsep perpaduan antara kita dapat dikembangkan dengan baik? Jangan kerana tahap kecerdasan emosi kita yang lemah menyebabkan kita bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan peristiwa hitam 13 Mei berulang kembali.

Kecerdasan emosi juga amat penting dalam aspek kepimpinan

Menurut Gardner dan Stough ( 1983 ), kecerdasan emosi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam proses penglibatan bahkan juga dalam proses kepimpinan. Menurut George pula, kecerdasan emosi dapat mengembangkan matlamat kolektif, penerapan idea dalam pemikiran secara perlahan-lahan, pembinaan dan peningkatan keyakinan dan semangat kerjasama. Melalui pendapat daripada beberapa orang tokoh, dapat dibuktikan bahawa kecerdasan emosi penting dalam aspek kepimpinan. Sebagai contoh, seorang pengurus di tempat kerja perlu memiliki ciri kepimpinan yang boleh membantunya mengawal pekerja di bawahnya. Dengan memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, pengurus tersebut akan tahu bagaimana untuk mengurus dan mengawal perasaannya dan juga orang lain yang bekerja bersamanya di samping memberikan dorongan positif ke arah mewujudkan satu perhubungan yang mampu membawa kepada kejayaan dalam mencapai matlamat pekerjaan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak hanya khusus buat mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi, bahkan KE ini penting bagi setiap individu, yang di atas ingat yang bawah dan yang di bawah ingat mereka yang di atas. Yang penting, ingatlah bahawa jangan pernah berasa kita adalah yang paling atas atau mulia kerana sesungguhnya ada lagi Maha Mulia di mana kekuasaanNya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.

Dari aspek pendidikan pula, kecerdasan emosi merupakan salah satu perkara yang penting dalam mencapai kejayaan. Dengan memiliki kemampuan untuk mengawal emosi, apabila seorang pelajar mengalami kegagalan dalam pelajaran, dia akan mampu mengawal keadaan dirinya secara positif dengan memotivasikan dirinya sendiri serta menganalisis kelemahan dirinya sendiri. Selain itu, apabila pelajar memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, dia akan mampu untuk mengasingkan masalah peribadi yang dihadapinya denga pelajaran. Ini kerana, melalui apa yang dapat dilihat pada masa kini, terdapat pelajar yang memiliki masalah keluarga sehingga masalah tersebut mempengaruhi pelajarannya sehingga membawa kepada kegagalan. Dengan memiliki kecerdasan emosi, ia dapat membantu pelajar tersebut untuk mengawal emosinya serta pelajarannya tidak terpengaruh dengan masalah yang dihadapi. Tambahan pula, cuba renung kembali siapa kita di dunia ini?Pastinya kitalah anak, ibu, ayah, sepupu, kawan, pelajar dan sebagainya. Justeru, tahap KE kita perlulah sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana jika kita tidak dapat mengawal emosi kita dengan baik, secara sengaja ataupun tidak, kemungkinan besar ada yang terluka.
Sebagai kesimpulan, kecerdasan emosi penting dari aspek social, kepimpinan serta pendidikan. Ia penting bagi membantu seseorang individu mencapai kejayaan serta memperbaiki hubungannya dengan orang lain.