Friday, 13 July 2012

Perasaan atau Emosi? (Refleksi ke 4)


Salam pertemuan..
Bagaimana emosi anda pada hari ini?harap-harap semuanya berjalan dengan lancar..amin :)

Sebenarnya ada sesuatu yang ingin saya kongsikan pada post kali ini. Pada suatu petang yang indah, saya ada terbaca suatu petikan, "Perasaan atau Emosi?". Petikan tersebut berbunyi begini..

Pada amnya, emosi diihat sebagai respon asas manusia. Emosi asas seperti kemarahan, kesedihan, keseronokan, kasih sayang, terperanjat, kejijikan dan rasa malu adalah dibina dalam DNA kita sebagai bentuk respon-respon neurobiologikal kimia.
Perasaan sebaliknya merupakan bahan terhasil daripada tindak balas emosi kita. Ia lebih berkaitan rapat dengan refleksi daripada emosi. Terdapat beratus-ratus perasaan yang berlainan. Justeru kita memberi respon kepada emosi yang berbeza di bawah situasi yang berlainan. Maka, perasaan merupakan respon terlazim di bawah masyarakat budaya kita. Ringkasnya, emosi memainkan peranan sebagai pengarah di bawah kesedaran 
(subconscious) kepada perhatian kita yang wujud sebelum perasaan kita ditunjukkan.


 Emosi merupakan tindakan balas reflektif secara semula jadi yang telah dikaitkan dalam sistem saraf dalam otak manusia sebagai mekanisme untuk komunikasi perasaan individu. Menurut Daniel Goleman (1997), emosi asas (primary emotion) manusia merangkumi rasa marah, sedih, takut, seronok, kasih sayang, terperanjat, jijik dan malu. Setiap emosi asas ini mempunyai berbilang-bilang ahli emosi yang berkaitan. Misalnya ahli-ahli emosi marah ialah radang, berang, murka, sengit, hangat dan sebagainya.


**Petikan ini menarik perhatian saya kerana setelah membaca petikan ini, ada persoalan yang muncul di benak saya, 'Apa perbezaan antara perasaan dan emosi?'. Kini, baru saya nampak, ada sedikit perbezaan antara dua perkara itu. Emosi ini akan muncul setelah kita melakukan sesuatu tindakan dan ianya hanya akan muncul untuk buat seketika atau paling kurang hanya untuk beberapa saat. Namun, perasaan akan timbul selepas daripada emosi. Kebiasaannya, perasaan itu akan kekal buat jangka masa yang lebih panjang. Seperti di dalam petikan tersebut, perasaan sebenarnya lebih berkaitan rapat dengan refleksi daripada emosi.
Akhir kalam (buat kali ini), kepada para pembaca jika ada sesuatu yang saya salah tafsir, harap dapat menegur dan jika anda ingin tambah, seluas lautan saya amat alu-alukan.

Thursday, 12 July 2012

Refleksi Ke 3 (Kepentingan Kecerdasan Emosi)

Salam pertemuan..
Merujuk tajuk di atas, insya-Allah kali ini saya ingin mengupas sedikit mengenai kepentingan kecerdasan emosi dan kepentingannya boleh dibahagikan kepada aspek : 
1. sosial
2. pendidikan
3. kepimpinan


Goleman ( 1995, 1998 ) mengatakan bahawa kecerdasan emosi mampu membawa kepada kejayaan sama ada di rumah, sekolah atau pun tempat kerja.Dari aspek sosial, kecerdasan emosi penting bagi membolehkan hubungan sosial di antara seseorang individu dengan individu yang lain boleh berlaku dengan baik. Cuba bayangkan sekiranya seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang lemah, pasti emosinya sering tidak stabil dan secara tidak langsung kebanyakan yang berada di sekelilingnya juga akan cuba menghindarinya. Namun, jika hal ini berlarutan, bagaimana konsep perpaduan antara kita dapat dikembangkan dengan baik? Jangan kerana tahap kecerdasan emosi kita yang lemah menyebabkan kita bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan peristiwa hitam 13 Mei berulang kembali.

Kecerdasan emosi juga amat penting dalam aspek kepimpinan

Menurut Gardner dan Stough ( 1983 ), kecerdasan emosi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam proses penglibatan bahkan juga dalam proses kepimpinan. Menurut George pula, kecerdasan emosi dapat mengembangkan matlamat kolektif, penerapan idea dalam pemikiran secara perlahan-lahan, pembinaan dan peningkatan keyakinan dan semangat kerjasama. Melalui pendapat daripada beberapa orang tokoh, dapat dibuktikan bahawa kecerdasan emosi penting dalam aspek kepimpinan. Sebagai contoh, seorang pengurus di tempat kerja perlu memiliki ciri kepimpinan yang boleh membantunya mengawal pekerja di bawahnya. Dengan memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, pengurus tersebut akan tahu bagaimana untuk mengurus dan mengawal perasaannya dan juga orang lain yang bekerja bersamanya di samping memberikan dorongan positif ke arah mewujudkan satu perhubungan yang mampu membawa kepada kejayaan dalam mencapai matlamat pekerjaan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak hanya khusus buat mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi, bahkan KE ini penting bagi setiap individu, yang di atas ingat yang bawah dan yang di bawah ingat mereka yang di atas. Yang penting, ingatlah bahawa jangan pernah berasa kita adalah yang paling atas atau mulia kerana sesungguhnya ada lagi Maha Mulia di mana kekuasaanNya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.

Dari aspek pendidikan pula, kecerdasan emosi merupakan salah satu perkara yang penting dalam mencapai kejayaan. Dengan memiliki kemampuan untuk mengawal emosi, apabila seorang pelajar mengalami kegagalan dalam pelajaran, dia akan mampu mengawal keadaan dirinya secara positif dengan memotivasikan dirinya sendiri serta menganalisis kelemahan dirinya sendiri. Selain itu, apabila pelajar memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, dia akan mampu untuk mengasingkan masalah peribadi yang dihadapinya denga pelajaran. Ini kerana, melalui apa yang dapat dilihat pada masa kini, terdapat pelajar yang memiliki masalah keluarga sehingga masalah tersebut mempengaruhi pelajarannya sehingga membawa kepada kegagalan. Dengan memiliki kecerdasan emosi, ia dapat membantu pelajar tersebut untuk mengawal emosinya serta pelajarannya tidak terpengaruh dengan masalah yang dihadapi. Tambahan pula, cuba renung kembali siapa kita di dunia ini?Pastinya kitalah anak, ibu, ayah, sepupu, kawan, pelajar dan sebagainya. Justeru, tahap KE kita perlulah sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana jika kita tidak dapat mengawal emosi kita dengan baik, secara sengaja ataupun tidak, kemungkinan besar ada yang terluka.
Sebagai kesimpulan, kecerdasan emosi penting dari aspek social, kepimpinan serta pendidikan. Ia penting bagi membantu seseorang individu mencapai kejayaan serta memperbaiki hubungannya dengan orang lain.

Monday, 9 July 2012

Refleksi KE 2

Setelah dibincangkan serba sedikit tentang KE pada post yang lalu, kini saya ingin lebih fokus kepada cabang-cabang yang terdapat dalam Kecerdasan Emosi ini. Jika diimbas kembali, cabang-cabang dalam KE ini ialah ;
1. IQ (Intellectual Quotient)
2. EQ (Emotional Quotient)
3. SQ (Spiritual Quotient)






IQ
Sebenarnya, IQ ini adalah 'What do I think?'. Organ yang terlibat adalah otak. Acap kali kita mendengar apabila ingin memuji kepandaian seseorang itu, kita mesti menggunakan istilah 'IQ'. Seseorang yang pandai, kita akan mengatakan bahawa dia mempunyai tahap IQ yang tinggi. Hal ini demikian kerana, IQ melibatkan otak (cara bagaimana seseorang itu berfikir). Tambahan, kebiasaannya IQ ini menyebabkan kita untuk berfikir benda-benda fizikal dan hal-hal kebendaan.


EQ
Emotional atau emosi. Kedua-duanya sama, cuma berlainan bahasa sahaja. 'What do I feel?' adalah yang merujuk bagi EQ ini. Organ yang terlibat ialah jantung (saintifik) atau hati (spiritual). Emosi itu sebenarnya juga ialah perasaan. Namun, perlu diingat! Kita sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang dikenali sebagai manusia sememangnya mempunyai bermacam-macam perasaan. Ada yang positif dan ada yang negatif (nafsu). Memang tidak dinafikan perasaan negatif pasti akan mengetuk pintu hati kita. Namun, sebagai manusia yang mempunyai ilmu dan akal fikiran yang waras, sebaik mungkin perlulah kita hindari daripada terbelenggu dengan perasaan negatif itu. Bak kata orang-orang dahulu, buatlah sesuatu itu tetapi jangan sampai menjadi mangsa emosi diri sendiri.


SQ
SQ sebenarnya ialah 'Who am I?'. SQ ini mengikut pemahaman saya sebenarnya lebih merujuk kepada pemikiran yang bertujuan, ibarat gabungan antara IQ dan SQ. Seseorang yang berfikir merangkumi SQ sekali, kemungkinan besar dia akan melakukan kerja dengan rasa penuh ikhlas dan seronok. Hal ini demikian kerana, mereka ini bukan sahaja akan memikirkan dirinya sendiri bahkan juga untuk kebaikan orang lain. Contohnya, kita mengikut Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hanya untuk suka-suka dan mendapat elaun. Namun bagi mereka yang berfikir dengan menggunakan SQ, mereka bukan sahaja memikirkan mengenai hal itu bahkan mereka ingin ke sana kerana ingin menuntut ilmu dan menimba pengalaman baru.


Kesimpulannya, apabila dapat memahami ilmu baru seperti cabang-cabang KE ini membuatkan saya berasa amat teruja dan kagum. Hebat ciptaan Dia.

Refleksi KE 1

Mengikut pemahaman saya, insya-Allah,, KE sebenarnya merupakan singkatan bagi Kecerdasan Emosi.
Mengikut Daniel Goleman (1995) pengarang buku
The Emotional Intelligence”, penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada
kecerdasan yang ada pada keintelektualannya (IQ) sahaja tetapi yang lebih penting adalah
kecerdasan emosi (EQ) yang ada pada dirinya.
Saya amat setuju dengan kenyataan beliau di atas kerana bagi saya seseorang yang gagal mengawal emosi meskipun dia mempunyai IQ yang tinggi, dia sebenarnya belum berjaya lagi.
Jika kita renung sejenak, kadang-kadang kita lupa bahawa manusia sebenarnya adalah makhluk yang paling sempurna kerana hanya kita yang yang dikurniakan akal dan fikiran.
Secara spesifiknya, ianya boleh dibahagikan kepada IQ (Intellectual Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient).


 "Orang yang berjaya adalah mereka yang berfikir sepertimana orang berjaya berfikir".
Berdasarkan kata-kata di atas, kita perlulah menggunakan ketiga-tiga aspek (IQ, EQ dan SQ) tersebut dalam apa jua keadaan. Jika tidak, kita seolah-olah hanya melakukan sesuatu perkara itu tanpa tujuan. Sebagai contoh, kita membaiki jalan semata-mata untuk mencari rezeki dan kita pun memikirkan cara bagaimana ingin melaksanakannya. Namun begitu, selepas kita selesai melakukan perkara yang kita inginkan dan mendapat gaji, perkara itu hanya habis di situ sahaja. Namun, sesuatu perkara yang kita lakukan akan lebih baik dan bermakna jika ketiga-tiga aspek tadi digunakan dengan sebaik mungkin. Kita juga akan lebih seronok dan ikhlas. Berbalik semula pada contoh tadi, kita akan lebih seronok melakukan pekerjaan kita jika SQ turut digunakan sama, di mana kita berfikir bahawa kita membaiki jalan itu boleh memberikan kesenangan pada orang lain sekaligus memajukan dan memperindahkan bumi kita yang subur ini.


Emosi.Setiap kali kata 'emosi' ini diungkap oleh seseorang, tidak dinafikan ada di antara kita hanya memandang negatif tentang emosi ini. Hal ini demikian kerana mereka mengaitkan emosi ini dengan sifat yang negatif atau buruk. Namun, tanggapan sebilangan mereka itu tidak tepat. Hal ini demikian kerana, hidup tanpa emosi atau perasaan adalah seperti robot. Jangan jadi seperti robot kerana dalam tidak sedar robot sebenarnya dia sedang merosakkan diri mereka sendiri. Hanya mengikut telunjuk orang lain tanpa memikirkan tujuan dan faedah yang diperoleh. 


Oleh itu, setiap perkara yang kita ingin lakukan memerlukan kita kecerdasan emosi yang tinggi agar semuanya berjalan dengan lebih baik. Dalam hidup ini pelbagai aspek boleh kita bahagikan, contohnya ;
1. Spiritual
2. Kerjaya
3. Keluarga
4. Perkembangan diri
5. Kewangan
6. Sumbangan masyarakat
7. Interpersonal
8. Kesihatan

Hidup ini ibarat roda. Jika ada satu bahagian roda kita yang tidak seimbang dengan yang lain, maka rosaklah roda kita. Maka, secara kesimpulannya dalam apa jua perkara yang kita ingin lakukan, aspek IQ, EQ dan SQ perlulah diinterapkan supaya perkara itu lebih bermakna dan ada tujuan.



Friday, 29 June 2012

Salam Perkenalan~

Assalamualaikum dn slm sjhtera smua..hai :)

---Kini bermulanya era baru,,era PPISMP Semester 3--
"ada subjek baru la sem ni"
       "aah..KE tu apa ya?"
                                                                                                                    (sblm msuk kls)
____________________________________________________________________________

"wahh KE menarik la..dapat bljar buat blog :) "
"tidak sabar rasanya nak kongsi idea-idea dgn kwn2.."
                                                                                                                    (slps kls KE)

Pensyarah KE : Puan Norihah binti Bachok
Jangan lupa temujanji kita,,
     Setiap hari Selasa jam 2.30ptg hingga 4.30pg

**Sebentar!!Apa itu KE?..
KE kuala lumpur?atau dh mkn KE?
p/s: ikuti kisah seterusnya,,'apa itu KE..'