Salam pertemuan..
Merujuk tajuk di atas, insya-Allah kali ini saya ingin mengupas sedikit mengenai kepentingan kecerdasan emosi dan kepentingannya boleh dibahagikan kepada aspek :
1. sosial
2. pendidikan
3. kepimpinan
Goleman ( 1995, 1998 ) mengatakan bahawa kecerdasan emosi mampu membawa kepada kejayaan sama ada di rumah, sekolah atau pun tempat kerja.Dari aspek sosial, kecerdasan emosi penting bagi membolehkan hubungan sosial di antara seseorang individu dengan individu yang lain boleh berlaku dengan baik. Cuba bayangkan sekiranya seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang lemah, pasti emosinya sering tidak stabil dan secara tidak langsung kebanyakan yang berada di sekelilingnya juga akan cuba menghindarinya. Namun, jika hal ini berlarutan, bagaimana konsep perpaduan antara kita dapat dikembangkan dengan baik? Jangan kerana tahap kecerdasan emosi kita yang lemah menyebabkan kita bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan peristiwa hitam 13 Mei berulang kembali.
Kecerdasan emosi juga amat penting dalam aspek kepimpinan.
Menurut Gardner dan Stough ( 1983 ), kecerdasan emosi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam proses penglibatan bahkan juga dalam proses kepimpinan. Menurut George pula, kecerdasan emosi dapat mengembangkan matlamat kolektif, penerapan idea dalam pemikiran secara perlahan-lahan, pembinaan dan peningkatan keyakinan dan semangat kerjasama. Melalui pendapat daripada beberapa orang tokoh, dapat dibuktikan bahawa kecerdasan emosi penting dalam aspek kepimpinan. Sebagai contoh, seorang pengurus di tempat kerja perlu memiliki ciri kepimpinan yang boleh membantunya mengawal pekerja di bawahnya. Dengan memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, pengurus tersebut akan tahu bagaimana untuk mengurus dan mengawal perasaannya dan juga orang lain yang bekerja bersamanya di samping memberikan dorongan positif ke arah mewujudkan satu perhubungan yang mampu membawa kepada kejayaan dalam mencapai matlamat pekerjaan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak hanya khusus buat mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi, bahkan KE ini penting bagi setiap individu, yang di atas ingat yang bawah dan yang di bawah ingat mereka yang di atas. Yang penting, ingatlah bahawa jangan pernah berasa kita adalah yang paling atas atau mulia kerana sesungguhnya ada lagi Maha Mulia di mana kekuasaanNya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.
Dari aspek pendidikan pula, kecerdasan emosi merupakan salah satu perkara yang penting dalam mencapai kejayaan. Dengan memiliki kemampuan untuk mengawal emosi, apabila seorang pelajar mengalami kegagalan dalam pelajaran, dia akan mampu mengawal keadaan dirinya secara positif dengan memotivasikan dirinya sendiri serta menganalisis kelemahan dirinya sendiri. Selain itu, apabila pelajar memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, dia akan mampu untuk mengasingkan masalah peribadi yang dihadapinya denga pelajaran. Ini kerana, melalui apa yang dapat dilihat pada masa kini, terdapat pelajar yang memiliki masalah keluarga sehingga masalah tersebut mempengaruhi pelajarannya sehingga membawa kepada kegagalan. Dengan memiliki kecerdasan emosi, ia dapat membantu pelajar tersebut untuk mengawal emosinya serta pelajarannya tidak terpengaruh dengan masalah yang dihadapi. Tambahan pula, cuba renung kembali siapa kita di dunia ini?Pastinya kitalah anak, ibu, ayah, sepupu, kawan, pelajar dan sebagainya. Justeru, tahap KE kita perlulah sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana jika kita tidak dapat mengawal emosi kita dengan baik, secara sengaja ataupun tidak, kemungkinan besar ada yang terluka.
Sebagai kesimpulan, kecerdasan emosi penting dari aspek social, kepimpinan serta pendidikan. Ia penting bagi membantu seseorang individu mencapai kejayaan serta memperbaiki hubungannya dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment